Gelombang kemelesetan ekonomi digambarkan berlaku setiap 10 tahun. Semenjak Mak lahir tahun 1979, telah berlaku beberapa KEMELESETAN yang dipengaruhi pelbagai faktor.
1978 - kejutan harga minyak
1985 – kejatuhan harga komoditi
1997 – kejatuhan nilai matawang
2008 – kemerosotan pasaran kewangan global
Terkini, gambaran KEMELESETAN EKONOMI ini dilihat kesan daripada penyebaran wabak Covid-19 yang diisytiharkan sebagai Pandemik oleh WHO bulan Mac lalu.
Ok, jom kita lihat, apakah KESAN daripada KEMELESETAN EKONOMI kepada Mak-mak.
1. Pengangguran.
Ini adalah kesan paling SEGERA kita boleh lihat ketika ini. Ramai yang tidak dapat bekerja akibat wabak ini, walaupun Kerajaan menjanjikan skim subsidi gaji dan pelbagai pakej rangsangan lain, ianya belum mampu dilaksanakan secara rapid dan efisien dalam tempoh terdekat ini.
Kadar gaji akan menjadi lebih rendah. Maka graduan baharu akan ditawarkan dengan gaji lebih rendah, pekerja lama yang kurang PRODUKTIF akan digantikan oleh Graduan ini.
Malahan, bagi golongan yang mempunyai nilai RESUME yang rendah akan turut sama terjejas.
2. Pendidikan
Apabila sektor pekerjaan tidak menampakkan kesan positif jika tahap pendidikan ditingkatkan, maka isi rumah akan berkira untuk melabur dalam pendidikan keluarga.
Faktor ekonomi keluarga, menghadkan perancangan ahli keluarga untuk melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi.
Cukup sekadar 2 KESAN di atas. Kalau Mak tambah lagi mesti ramai yang menangis di bucu katil. Kan?
Tetapi, Mak nak juga berkongsi, ADAKAH PELUANG untuk BERJAYA di zaman EKONOMI MELESET?
Hasil carian Mak di beberapa portal, terdapat beberapa PELUANG PERNIAGAAN yang berjaya, walaupun ketika EKONOMI DUNIA SEDANG MELESET.
1. Industri Perkhidmatan Asas
Contoh bagi perniagaan jenis ini adalah, kerja-kerja membaiki. Secara mudahnya di zaman ekonomi meleset, masyarakat tidak akan membuat HUTANG baharu untuk memiliki aset, justeru aset sedia ada akan dijaga dan diservis secara berhemah bagi mengekalkan prestasinya.
Rumah akan dibaiki supaya lebih selesa. Maka tidak ramai individu yang akan membuat hutang baharu untuk membeli rumah.
Sama juga keadaannya dengan kereta. Jika membeli kereta menambah hutang isi rumah, maka membaiki kereta sedia ada adalah pilihan terbaik.
2. Industri Makanan
Contoh ini jelas. Ketika kita “dikurung” selama 4 minggu, gambar yang sering berlegar di media sosial adalah MAKANAN. Daripada makanan yang epik sehinggalah kepada makanan yang viral.
Maka Mak-mak perlulah “improvise” menu yang mudah sedia, mudah jual tetapi sedap dan bermanfaat.
Antara kategori makanan yang berjaya survive ketika KEMELESETAN EKONOMI pada tahun 2008 adalah industri manisan dan minuman. Ini boleh dikaitkan dengan, dalam keadaan stress, kita cenderung untuk menikmati makanan manis seperti coklat yang merangsang hormon serotonin dalam badan kita.
3. Kedai Bajet
Ketika masyarakat masih gusar dengan ekonomi keluarga, Mak-mak masih berkeinginan membeli. Maka keinginan ini akan disalurkan ke kedai bajet dan menarik. Kedai-kedai seperti Kedai Eco, DIY, Kedai RM2 dan seumpamanya, dilihat mampu menarik pembeli yang lebih banyak berbanding pasaraya dengan gaya hidup mewah.
Kedai-kedai begini, masih menawarkan barangan keperluan tetapi pada harga yang sangat munasabah.
4. Teknologi Maklumat
Peluang ini sangat jelas. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini, maklumat disalurkan secara berkesan melalui Teknologi Maklumat terutamanya media sosial.
Kita menyaksikan bagaimana pembelajaran boleh dibuat secara atas talian, walaupun tiada pendidikan formal mengenai penggunaannya.
Mak sendiri telah menyertai 2 kelas secara online dimana bayaran yuran hanya RM100. Tetapi bilangan peserta kelas tersebut adalah 255 orang. Ini memberi jumlah perolehan bagi kelas yang sebegini berjumlah RM 25,500, bagi suatu tempoh masa yang singkat.
Malah terdapat banyak lagi peluang lain dalam bidang ini, jika diteliti dan diberi tumpuan. Good Luck!
5. Perkhidmatan Jagaan Warga Emas
Seluruh dunia menyaksikan kadar warga emas yang meningkat kesan daripada tahap kesihatan masyarakat yang semakin maju. Tetapi warga emas ini, masih memerlukan penjagaan khas untuk memudahkan urusan mereka.
Justeru, perniagaan dalam bidang ini dilihat sangat berpotensi. Ketika anak-anak warga emas ini perlu bekerja keras untuk meningkatkan ekonomi keluarga, warga emas ini boleh dijaga dengan baik melalui industri perkihdmatan jagaan warga emas.
6. Perkhidmatan Pembersihan
Walaupun perniagaan jenis ini dilihat mewah, tetapi ianya semakin mendapat perhatian kesan daripada wabak yang melanda. Bangunan-bangunan perlu disanitasi. Kenderaan awam, kenderaan peribadi malahan mungkin baju dan kain-kain kegunaan harian juga perlu disanitasi.
Maka, sedikit pelaburan untuk perniagaan jenis ini, mampu melonjakkan keuntungan yang jelas, bagi suatu tempoh masa.
Tetapi SEBELUM kita mampu untuk BANGKIT BERJAYA, ada beberapa perkara yang perlu Mak-mak lakukan. Berikut adalah beberapa cadangan yang dilihat praktikal untuk dilaksanakan.
1. SIMPANAN TUNAI UNTUK KECEMASAN
Mulakan dengan menyimpan duit Bantuan Sara Hidup, Bantuan Prihatin Nasional, moratorium, KWSP serta mana-mana sumber duit tunai yang kita boleh perolehi.
Jangan cerita tentang, “DUIT KAMI CUKUP-CUKUP MAKAN”. Mak percaya, Mak-mak yang membaca tulisan ini, ada satu skil yang tiada pada golongan BUKAN MAK-MAK.
Kita boleh membelanjakan duit dapur, tetapi pada masa yang sama kita mampu menyimpan duit tersebut untuk simpanan kecemasan. Siapa begitu, angkat tangan.
Ayuh! Mula menyimpan sekarang!
2. BAYAR HUTANG
Ketika banyak pengecualian bayaran dibenarkan, Mak-mak boleh melangsaikan hutang yang mempunyai kadar faedah yang paling tinggi, disamping bebanan bulanan yang tinggi.
Contohnya, ada hutang rumah, hutang kereta dan hutang kad kredit. Antara ketiga-tiga hutang tersebut, kad kredit mempunyai kadar faedah yang tinggi, diikuti dengan kereta dan terakhir adalah rumah.
Maka, nilaikan untuk selesaikan kad kredit diikuti kereta seterusnya rumah yang mungkin mempunyai tempoh yang lebih panjang. Jadi Mak-mak perlu kirakan duit Abah-abah ye.
3. UBAH GAYA HIDUP
Jika sebelum ini, kita makan di kedai 5 kali seminggu, boleh mula kurangkan. Mula membaca blog-blog dan portal memasak yang memberikan pelbagai menu ringkas, tetapi lazat.
Malahan di media sosial misalnya, terdapat pelbagai Content Writer, Media Influencer yang telah mula dengan cara sediakan menu-menu yang begini.
Jika kita berkereta mewah, boleh mula mencari kereta pada CC yang lebih kecil dengan komitmen bulanan yang lebih rendah.
Jika menyewa rumah yang ada 3 bilik, 2 bilik air, dengan bilangan anak yang sedikit, mulalah mencari rumah sewa pada kadar yang lebih murah.
4. DUA KERJA
Jika kita tidak pernah mencari pendapatan sampingan, mulalah berfikir sekarang. Terdapat banyak peluang untuk membuat pendapatan sampingan ini, antaranya ONLINE Seller.
Media sosial yang PERCUMA, mampu menjadi medan mempromosikan produk kita. Walaupun produk kita tak boleh dijual secara POS, tetapi media sosial, mampu memberitahu seantero dunia bahawa kita menjual produk tersebut. Cubalah!
5. PELABURAN
Terakhir sekali, jika kita sememangnya ada lebihan tunai, melaburlah. Pelaburan hartanah antara bidang yang jelas menunjukkan keuntungan.
Bagi Mak-mak, membeli emas juga merupakan pelaburan jangka pendek dan panjang. Bayangkan emas yang dibeli pada harga RM35 segram ketika tahun 2001 telah meningkat naik kepada RM129 pada tahun 2009 (merujuk kepada harga Kijang Emas).
Okey cukup dulu, GAMBARAN KESELURUHAN yang mak boleh berikan untuk bacaan masa lapang Mak-mak sekelian.
Nanti, Mak akan kongsi satu persatu, langkah demi langkah untuk Mak-mak buat dalam menongkah arus KEMELESETAN EKONOMI bersama bala tentera mak-mak yang tidak pernah sunyi daripada minta makan. Ok jom memasak dulu!