Poligami: Jika tidak menyokong, jangan menentang

#keluargadananda

Kalau tidak menyokong, JANGAN kita menentang.

Hoyeh! Tajuk panas, kupasannya nanti lagi panas.
Walaupun tajuk tu macam kena mengena dengan DEMAM PILIHANRAYA, tapi kupasan ini nanti sangat berbeza.

Yang sebenarnya saya ingin menyentuh tentang isu
POLIGAMI.

Bagi menerangkan dengan lebih jelas, saya perlu terangkan maksud poligami adalah
PERKAHWINAN MELEBIHI SATU.

Kebiasaannya, poligami ini dikatakan perbualan biasa lelaki normal.
Tetapi poligami pula ingauan ngeri wanita biasa.
Bezakan perkataan yang saya gunakan.
✔LELAKI NORMAL
✔WANITA BIASA

Perkataan di atas jelas menggambarkan bahawa bagi lelaki; memikirkan, membincangkan melaksanakan POLIGAMI adalah normal.
Manakala bagi perempuan pula, memikirkan sahaja sudah amat menjengkelkan, apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi poligami, sama ada ahli keluarga, rakan taulan, apatah lagi diri sendiri.

Kali ini, suka saya ingin membincangkan tentang poligami ini kepada golongan wanita.

Pertamanya;
Yang TIDAK pernah berhadapan dengan situasi, sama ada cubaan berpoligami, mahupun telah berlaku poligami, amatlah dinasihatkan agar jangan secara terang-terangan menzahir kebencian anda kepada lelaki berkenaan.
Kadang kala, reaksi kita yang keterlaluan, boleh mengundang rasa sedih kepada wanita yang sedang melaluinya.
Perkataan yang digunakan juga perlulah ditapis dan difikirkan secara mendalam kesan dan akibatnya kepada orang sekeliling. Jangan menunjukkan kita sebagai penentang poligami yang kejam. Hakikatnya poligami adalah sesuatu yang dibenarkan di dalam agama.
Mahukah kalian menjadi penentang hukum Tuhan?

Keduanya;
Yang SEDANG berhadapan dengan situasi poligami, jadikanlah diri kita penyejuk mata, penenang jiwa kepada kenalan, sahabat handai atau saudara mara kita yang sedang melaluinya.
JANGAN pula kita menjadi BATU API, menjadi API DALAM SEKAM, menjadi TUKANG KIPAS dan pelbagai lagi istilah yang seumpamanya.

Apabila kita dapati seseorang itu dimadukan sedang mengalami masalah, jangan pula secara pantas kita terus menyalahkan si suami. Kerana dengan menyalahkan, tidak dapat menyelesaikan masalah rakan kita.
Kita berikan kata-kata semangat. Kita terangkan bagaimana seorang wanita waras boleh bertindak dalam situasi rumahtangga yang begitu.
Jika masalah kewangan, fikirkan cara yang boleh membantu.
Pernah suatu kisah, kenalan jauh saya mengadu:

"Akak, saya dah tak tahan dengan suami saya, asyik melebihkan bini muda, sampai kami anak2 nak makan pakai, saya yang kena usahakan sendiri"

Saya bertanya "ada minta duit atau keperluan rumah daripada suami?"

"Takde kak, saya dah malas. Minta pun bukan pernah dapat"

Maka jawapan saya kepada beliau;
"Kalau minta secara verbal tak dapat, apakata tuliskan. Buat senarai keperluan rumahtangga untuk sebulan dari makan minum, baju bajan dan keperluan menguruskan rumahtangga. Berikan kepada suami setiap bulan, sambil berdoa, jika tidak bulan ini, bulan depan suami akan cukupkan. Jika tidak, sekurang-kurangnya tanggungjawab saya utk ingatkan suami mengenai tanggungjawabnya telah pun terlepas."

Ini adalah satu sahaja cara, malahan masih banyak lagi cara yang kita boleh bantu.

Ada satu kisah, apabila seorang wanita mengadu tentang cubaan suaminya untuk bermadu, tetapi tanggungjawab untuk rumahtangga masih tidak lepas, maka saya nasihatkan wanita tersebut untuk memulakan bisnes dari rumah. Akhirnya kini, dia boleh berdiri di atas kaki sendiri. Suaminya jadi kahwin lagi? Biarlah rahsia😷

Bagi saudara mara pula, janganlah kita menjadi tukang tambah garam ke atas luka adik beradik kita. Lebih-lebih lagi, kepada anak saudara kita yang berada dalam sebuah keluarga yang berpoligami.
Sedikit sebanyak si anak pasti melihat gelora dalam hubungan ibu dan bapanya.
Bantulah anak ini untuk kembali kuat. Bangun dari kekejaman masyarakat yang sentiasa memandang sinis terhadap bapanya yang berpoligami.
Kerana akhirnya nanti, anak itu tetap perlu hormat dan sayang kepada si ayah.

Ayuh! Mari kita menjadi masyarakat yang hebat.
Kita bantu sesiapa yang perlukan sokongan kita.

Jika pun kita tidak menyokong, janganlah jadi penentang.
Jom jadikan komuniti kita, komuniti yang lebih lestari dan positif demi kehidupan anak2 kita di masa hadapan.