Istimewa untuk MUHAMMAD AIDIL

#keluargadananda
Pagi ini, memang hati emak berbelah bahagi. Sama ada mendahulukan audit ataupun menghadiri majlis konvo Aidil.
Tetapi naluri wanita yang ada jarang sekali tersilap. Mak memilih untuk bersama Aidil seawal pagi.
Bermula dengan drama airmata Aidil, seakan tidak yakin emak akan turut hadir.
Kerana emak itu manusia biasa, maka sikap mengada dan bentak pada Aidil mengundang rasa marah emak. Mak tinggikan suara! "kalau abang nak mak sayang, abang kena diam, jangan menangis. Kejap lagi kita pergi sama2".
Macam kanak-kanak biasa lain, tangisan Aidil bertambah kuat.
Akhirnya emak mengalah, mak tau, emak tak mungkin akan menang dalam menongkah kasih sayang Aidil pada emak.
"Ok sayang, mak janji, mak akan datang ke majlis abang kejap lagi, tapi mak nak tengok abang yang paling hensem. Abang kena berhenti menangis, lap airmata abang.
Kami berpelukan, sambil Aidil masih merangkul kuat pelukannya ke bahu emak.
Tepat 7.45, kereta Saga hitam membelah kabus, menuju ke sekolah Aidil. Sepanjang perjalanan Aidil diam, dan tersenyum setiap kali mata kami bertentang. Suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Sinar matanya penuh dengan kebanggaan. Emak masih tidak mampu menafsirkan apakah perasaan Aidil ketika itu.
Setiba di sekolah, kami berjalan berpimpinan tangan. Tangan kanan memegang Airil, tangan kiri menggenggam erat tangan Aidil. Alangkah eratnya genggaman tangan abang. Mak masih tidak tahu, kenapa begitu sekali tangkah abang.
Mak tinggalkan abang di depan muka pintu kelas, mak dan Airil bergerak ke Arena Square sekolah.
Masa berlalu, tiba-tiba mak terasa seseorang memegang tangan emak. Ya, itulah tangan mungil abang Aidil. Abang sudah siap untuk persembahan. Sebaik emak menoleh, abang terus mengucup pipi emak, pada masa yang sama kawan abang mengejek "eee kau tak malu ke cium mak kau".
Abang, dengan yakin mengulangi ciuman itu, tanpa rasa tergugat dengan ejekan tersebut. Ketika ini, air mata emak bergenang. Jiwa mak tersentuj, hati emak penuh rasa bangga. Inilah anak lelaki emak yang hebat! Tidak terpengaruh dengan faktor luar, apatah lagi dengan kata-kata orang. Abang begitu yakin menzahirkan cinta dan sayang abag pada emak. Emak lemas, lemas dalam kasih sayang ini. Lemas dalam rahmat yang Allah pinjamkan pada emak, semenjak hari pertama emak tahu, abang berada dalam perut emak.
Waktu yang dinantikan pun tiba. Tahun lalu, inilah budak yang disuruh memakai jubah untuk bergambar pun dia tidak mahu. Tahun ini, budak ini akan naik ke pentas membuat persembahan. Lebih membuatkan emak rasa bangga, anak ini akan mengakhiri zaman pra sekolahnya, menjadi pelajar sekolah rendah.
Ketika abang Aidil beratur bersama kawan-kawan menantikan giliran membuat persembahan, seringkali mata kita bertemu mata. Setiap kali itu juga, abang akan tersenyum penuh makna. Setelah beberapa kali, mak merasakan abang pastinya merenung emak sepanjang masa. Mungkin abang mencari kekuatan, mungkin abang merasa bangga, mungkin abang merasa lebih yakin, setelah melihat emak yang sentiasa ada ketika itu.
Abang, menyedari abang sentiasa memerhatikan emak, walaupun dikejauhan, maka mak cuba pastikan setiap detik setiap masa, mata emak melihat ke arah abang.
Emak dapat lihat senyuman abang, reaksi muka abang, riak wajah abang, dan apabila abang senyum, emak nampak gigi rongak abang. Mak tetap bangga. Mak ada dihari yang paling bermakna dalam hidup abang.
Mak bukan bangga kerana abang dapat anugerah,
bukan kerana abang menjadi pelajar terbaik sekolah, bukan juga mak bangga kerana kebolehan abang membuat persembahan,
yang paling membanggakan emak, emak ada AIDIL sebagai anak emak, yang melengkapkan kasih sayang keluarga kita. Sesungguhnya emak ,abah, abang Aiman, kakak Amina dan adik Airil mendapat kesempurnaan sebuah keluarga dengan adanya abang.
TQ Sayang